Friday 5 October 2012

KEPELBAGAIAN DALAM PENGAJARAN KEMAHIRAN HIDUP


KEPELBAGAIAN DALAM PENGAJARAN KEMAHIRAN HIDUP

(Nota disesuaikan untuk tujuan kuliah oleh: Lee Chui Ting –BCN3) 

            Kepelbagaian kaedah atau gaya pengajaran penting dalam Kemahiran Hidup kerana ia menuntut para guru untuk memastikan proses penyampaian maklumat dan memupuk tingkah laku pembelajaran dalam kalangan pelajar. Berikut merupakan beberapa kaedah atau teknik pengajaran yang boleh digunakan untuk mempelbagaikan kaedah pengajaran:

a)    Projek

Ini merupakan satu teknik pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan pelajar-pelajar secara individu atau berkumpulan dalam sesuatu situasi pembelajaran. Melalui kaedah ini, pelajar akan didedahkan kepada suatu cara penyelesaian kepada satu masalah yang memerlukan mereka menghasilkan satu laporan tinjauan mudah ataupun membina satu yang berbentuk kekal sebagai hasil usaha kumpulan.

Kaedah ini memberi peluang kepada pelajar-pelajar memperoleh pengalaman pembelajaran secara langsung dan penglibatan diri secara aktif. Pembelajaran melalui sesuatu projek menggalakkan pelajar-pelajar menggunakan dan memantapkan kemahiran belajarnya. Projek adalah satu teknik pembelajaran yang memerlukan pelajar-pelajar mengaplikasikan kemahirannya dalam kehidupan hariannya.

Guru hendaklah juga memikirkan bagaimana projek yang diberi kepada pelajar-pelajarnya merupakan satu kesempatan untuk mengamalkan prinsip penyerapan dan penggabungjalinan dalam proses pembelajaran.

Topik-topik Kemahiran Hidup yang boleh menggunakan teknik projek adalah seperti penghasilan projek reka cipta, mereka bentuk dan menghasilkan projek gabungan kayu dengan bahan kitar semula bukan logam, penghasilan projek elektrik dan elektronik dan penghasilan ikan hiasan.

 

b)    Demonstrasi

Kaedah ini merupakan cara pengajaran di mana sesuatu pertunjukan secara amali dijalankan di hadapan pelajar-pelajar. Demonstrasi digunakan untuk menerangkan isi pelajaran kepada pelajar supaya mereka akan lebih faham apa yang mereka cuba pelajari. Kaedah ini melibatkan pembelajaran melalui pelbagai deria iaitu deria pendengaran, penglihatan dan pengamatan yang lebih tajam. Keberkesanan sesuatu demonstrasi akan bergantung kepada teknik yang diamalkan oleh guru.

Terdapat beberapa tajuk tertentu dalam Kemahiran Hidup yang sesuai disampaikan melalui kaedah demonstrasi. Antaranya ialah baik pulih dan penyenggaraan alatan tangan, mesin mudah dan perabot. Selain itu, topik jahitan juga sesuai dengan kaedah demonstrasi.

c)    Perbincangan

Merupakan teknik pengajaran-pembelajaran yang menggalakkan pelajar bertukar-tukar fikiran sambil berkongsi maklumat tentang sesuatu tajuk pelajaran yang diperbincangkan. Kaedah ini adalah satu kaedah di mana kelas dibahagikan kepada kumpulan kecil untuk menyelesaikan tugasannya.

Peranan guru ialah sebagai fasilitator kepada setiap kumpulan. Guru perlu mengelakkan daripada memainkan peranan yang dominan ketika membimbing pelajar-pelajarnya. Guru akan membuat rumusan muktamad setelah wakil-wakil kumpulan membentangkan rumusan atau laporan kumpulannya kepada kelas.

Kaedah perbincangan ini dapat menggalakkan pelajar-pelajar berfikir dengan teliti sebelum bercakap atau mengemukakan pandangannya tentang sesuatu yang dibincangkan. Kaedah ini juga merupakan satu aktiviti pembelajaran yang bersifat interaktif di mana pelajar-pelajar dapat berinteraksi secara berfaedah.

 

d)    Penyelesaian Masalah

Penyelesaian masalah adalah satu kaedah yang melibatkan pelajar secara aktif untuk membuat keputusan atau untuk mencapai satu sasaran tertentu. Semasa penyelesaian masalah, aktiviti seperti simulasi, perbincangan dan eksperimen boleh dijalankan.

Pengetahuan yang diperoleh dalam pelajaran Kemahiran Hidup hendaklah digunakan oleh pelajar-pelajar untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam kehidupan hariannya. Kaedah ini adalah untuk memanfaatkan pengetahuan yang dipelajarinya.

Guru perlu membiasakan pelajar-pelajar dengan teknik dan pengalaman menyelesaikan masalah dan membina keyakinan mereka dalam mencari penyelesaian kepada sesuatu isu. Guru juga perlu membimbing pelajar dengan mengemukakan soalan-soalan yang bertujuan meningkatkan daya berfikir mereka.  Melalui kaedah ini, pelajar-pelajar akan berusaha mencari jawapan dan berkeyakinan semasa menyampaikan idea-ideanya.

 

e)    Lawatan

Pembelajaran Kemahiran Hidup tidak hanya terhad di dalam sekolah sahaja, ia juga melibatkan pembelajaran di luar bilik darjah atau pada situasi sebenar. Melalui lawatan ke ladang atau kebun sayur akan mendekatkan pelajar dengan penanaman dan penjagaan sayur-sayuran. Selain itu, pelajar-pelajar juga boleh mempelajari cara menyediakan tapak tanaman, cara menjaga tanaman, membuat pemilihan biji benih yang bermutu dan lain-lain lagi.

 Dengan kaedah ini, pelajar dapat melihat situasi sebenar serta boleh menjadikan pembelajaran lebih berkesan, menyeronokkan dan bermakna. Kaedah ini juga memberi keinsafan dalam diri pelajar jika memberi peluang mengalami keadaan yang sebenar.

Untuk mengoptimumkan pembelajaran melalui lawatan, ia mesti dirancang rapi dengan para pelajar perlu  menjalankan aktiviti atau melaksanakan tugasan semasa lawatan. Perbincangan selepas lawatan perlu diadakan.

 

Proses pengajaran dan pembelajaran merupakan peringkat yang penting dalam pendidikan di sekolah. Sekiranya kita mempunyai proses pengajaran dan pembelajaran yang mantap dan canggih, sudah pasti penghasilan pelajar yang dihasilkan akan lebih bermutu dan mencapai matlamat Dasar Pendidikan Negara.

No comments:

Post a Comment